Category Archives: Pediatric

Penyakit Kekurangan Enzim G6PD. ( G6PD deficiency )

Pengenalan

Penyakit kekurangan enzim G6PD atau lebih dikenali dengan nama G6PD di kalangan rakyat Malaysia merupakan  satu penyakit bawaan genetik. Ia boleh menyebabkan anemia akibat stress pengoksidaan apabila pesakit tersebut terdedah kepada ubat-ubatan, makanan atau bahan-bahan tertentu. Akibat daripada stress pengoksidaan, sel-sel darah merah akan pecah dan ini menyebabkan anemia berlaku. Proses pemecahan sel-sel darah merah ini dinamakan hemolisis.

Penyakit ini biasanya berlaku kepada kaum lelaki dan dianggarkan 3-5% penduduk Malaysia mengalami masalah kekurangan enzim G6PD.

Pesakit yang mewarisi penyakit ini boleh hidup sebagaimana manusia normal akan tetapi ubat atau makanan tertentu yang boleh menyebabkan hemolisis perlu dielakkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan enzim G6PD?

Di dalam sel darah merah terdapat satu jenis enzim yang bertanggungjawab mengekalkan kestabilan sel darah merah daripada pecah iaitu enzim G6PD (Glucose-6-phosphate dehydrogenase ). Apabila paras enzim ini rendah, sel darah merah tidak mampu menahan keadaan stress seperti dalam kes jangkitan teruk atau apabila bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu diambil, sekaligus menyebabkan sel darah merah pecah.

Hemolisis berlaku dengan cepat dan ini membawa kepada hemolitik anemia.

Berapa kerapkah berlakunya kes kekurangan enzim G6PD ?

Dianggarkan seramai 400 juta manusia seluruh dunia menghadapi masalah kekurangan enzim G6PD. Keadaan ini selalunya berlaku di bahagian-bahagian tertentu Afrika, Asia dan Mediterranean.

Kawasan yang biasanya berlaku malaria juga mempunyai kes kekurangan enzim G6PD yang tinggi.

Di Malaysia pula dianggarkan 3-5% penduduk Malaysia mengalami masalah ini.

Apakah gen yang bertangggungjawab menyebabkan kekurangan enzim G6PD?

Punca utama kepada berlakunya masalah kekurangan enzim G6PD ialah mutasi di dalam gen G6PD. Gen G6PD mengeluarkan arahan supaya enzim G6PD dibentuk. Enzim ini terlibat dengan normal pemprosesan karbohidrat dan ia juga melindungi sel-sel darah merah daripada molekul berbahaya yang dipanggil molekul oksigen reaktif. Molekul ini merupakan hasil kumuhan sel. Tindak balas kimia yang melibatkan G6PD menghasilkan unsur yang mencegah molekul oksigen reaktif daripada terbina dan terkumpul di dalam sel darah merah sekaligus melindungi sel darah merah daripada pecah.

Sekiranya mutasi di dalam gen G6PD mengurangkan kuantiti enzim G6PD atau menukarkan strukturnya, enzim ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai pelindung sel darah merah sekaligus menyebabkan pengumpulan molekul oksigen reaktif yang membawa kerosakan kepada sel darah merah. Faktor seperti jangkitan,sesetengah ubat-ubatan, ataupun memakan kacang parang boleh meningkatkan paras molekul oksigen reaktif dan ini akan menyebabkan sel darah merah dimusnahkan lebih cepat berbanding penghasilannya. Berkurangnya sel darah merah membawa kepada timbulnya simptom dan tanda hemolitik anemia.

Banyak penyelidik percaya yang pembawa-pembawa G6PD mungkin dilindungi daripada penyakit malaria. Ini kerana pada pandangan mereka berkurangnya fungsi enzim G6PD menyebabkan parasit sukar untuk masuk ke dalam sel darah merah.

Bagaimanakah seseorang itu mewarisi kekurangan enzim G6PD?

Masalah kekurangan enzim G6PD ini ditentukan oleh kromosom resesif X. Gen yang dikaitkan dengan masalah kekurangan enzim ini terletak pada kromosom X. Lelaki hanya mempunyai satu kromosom X. Oleh itu, sebarang perubahan secara mutasi pada kromosom X tersebut sudah cukup untuk mewujudkan keadaan kekurangan enzim G6PD. Berlainan pula dengan perempuan yang mempunyai 2 kromosom X, mutasi perlu berlaku pada kedua-dua kromosom untuk mewujudkan keadaan kekurangan enzim G6PD ini. Oleh kerana faktor inilah, kebanyakan pesakit kekurangan enzim G6PD adalah lelaki.

Bagaimana masalah kekurangan G6PD ini didiagnosa?

Berdasarkan sampel darah yang diambil, pesakit kekurangan enzim G6PD akan menunjukkan kandungan haemoglobin yang kurang dan bilirubin yang tinggi di dalam darah.

Ujian spesifik paras enzim G6PD menunjukkan kandungan enzim yang rendah di dalam darah. Walau bagaimanapun semasa fasa akut, paras enzim di dalam darah mungkin normal atau hampir normal kerana sel yang terbabit semuanya dimusnahkan meninggalkan sel darah merah muda yang mempunyai paras normal enzim G6PD.

Oleh kerana keadaan ini adalah diwarisi daripada ibu yang merupakan pembawa gen tersebut, darah ibu pesakit akan menunjukkan paras enzim G6PD yang rendah daripada normal ataupun sedikit rendah daripada normal. Ini menguatkan lagi diagnosis kekurangan enzim G6PD pesakit.

Apakah gejala-gejala dan tanda-tanda pesakit kekurangan enzim G6PD?

Bagi kebanyakan pesakit yang menghadapi masalah kekurangan enzim G6PD, hemolitik anemia adalah tidak ketara sehinggalah 48-96 jam selepas pesakit mengambil bahan-bahan yang boleh menyebabkan pengoksidaan seperti aspirin, sulfonamid, ubat malaria(seperti primaquin), naftalin dan kacang parang (fava beans). Selain daripada yang tersebut di atas, jangkitan bakteria atau virus juga boleh menyebabkan hemolitik anemia kepada pesakit kekurangan enzim G6PD ini.

Gejala-gejala hemolisis yang akut termasuklah kepucatan, jaundis,mudah letih, sesak nafas, jantung berdebar-debar dan hemoglobinuria (hemoglobin dalam air kencing) yang menjadikan air kencing berwarna gelap. Kematian boleh berlaku sekiranya pesakit mengalami hemolisis yang teruk.

Jaundis dapat dilihat pada bahagian mata putih pesakit apabila berlakunya hemolisis di dalam pesakit kekurangan enzim G6PD.

Bagi bayi baru lahir, kekurangan enzim G6PD boleh menyebabkan jaundis(kekuningan) yang patologik. Jaundis pada bayi-bayi yang mempunyai tahap bilirubin yang tinggi di dalam darah perlu menjalani transfusi darah.

Walaupun ramai yang mempunyai masalah kekurangan enzim G6PD ini, tetapi ramai yang tidak pernah menghadapi gejala-gejala atau tanda-tanda seperti di atas.

Apakah ubat-ubatan yang patut dielakkan bagi pesakit kekurangan enzim G6PD?

  1. Anti-malarial : Primaquine dan pamaquine( Chloroquine di bawah pengawasan mungkin digunakan apabila antimalaria diperlukan untuk pencegahan atau rawatan malaria )
  2. Sulfonamides  : Sulfacetamide, Sulfanilamide, Sulfamethoxazole (e.g. Septra, Bactrim),Sulfasalazine.
  3. Anti-bacterials : Nitrofurantoin, Nalidixic Acid, Dapsone, Mafenide Cream (Sulfamylon).
  4. Analgesics : Phenacetin, Acetanilid, Phenazopyridine (Pyridium).
  5. Antihelmintics : ß-Naphthol, Stibophen dan Niridazole.
  6. Miscellaneous
    1. Vitamin K analogues (1mg phytonadione boleh diberikan kepada bayi)
    2. Probenecid
    3. Dimercaprol (BAL)
    4. Flutamide (Eulexin)
    5. Methylene Blue
    6. Tolouidine Blue
    7. Napthalene ( ubat gegat )

Apakah ubat-ubatan yang boleh digunakan oleh pesakit kekurangan enzim G6PD?

Secara umumnya :

1)Kesemua ubat yang “contraindicated” di dalam kes G6PD

2)Mungkin tidak boleh digunakan di dalam kes Kelas 1 G6PD.

Mengikut klasifikasi WHO, G6PD dibahagikan kepada 5 kelas. Kelas 1-3 merupakan keadaan kekurangan enzim.

Kelas 1 : Kekurangan enzim yang teruk (iaitu kurang daripada 10% aktiviti) dengan kronik hemolitik anemia.

Kelas 2 : Kekurangan enzim yang teruk ( iaitu kurang daripada 10% aktiviti) dengan  kadang-kadang berlakunya hemolisis.

Kelas 3: Kekurangan enzim yang sedikit ( dengan 10-60 % aktiviti ), hemolisis hanya berlaku apabila wujudnya keadaan stres iaitu ketika jangkitan, ubat-ubatan tertentu dan pengambilan kacang parang.

Kelas 4: Varian tanpa kekurangan enzim, dengan tiadanya symptom atau tanda.

Kelas 5: Aktiviti enzim meningkat dengan tiadanya symptom atau tanda.

Antara ubat-ubatan yang boleh diambil oleh pesakit kekurangan enzim G6PD:

  1. Analgesics
    1. Acetaminophen ( paracetamol )
    2. Aspirin ( boleh diberikan tapi dalam dos yang sederhana sahaja )
    3. Auralgan
  2. Cardiovascular Agents
    1. Procainamide
    2. Quinidine
  3. Neurologic Agents
    1. Trihexyphenidyl
    2. Levodopa
    3. Phenytoin
  4. Antibiotics
    1. Chloramphenicol
    2. Chloroquine
    3. Isoniazid
    4. Probenecid
    5. Proguanil
    6. Pyrimethamine
  5. Miscellaneous
    1. Vitamin C
    2. Colchicine
    3. Diphenhydramine

Bagaimanakah anemia yang disebabkan oleh penyakit ini dirawat ?

1)Sekiranya anemia adalah teruk, transfusi darah mungkin diperlukan.

2)Di dalam kes bayi yang baru lahir, langkah untuk mengurangkan bilirubin harus dilakukan kerana keadaan ini merbahaya kepada bayi. Fototerapi diberikan untuk memusnahkan bilirubin melalui kulit. Sekiranya bilirubin terlampau tinggi di dalam darah, “exchange transfusion” diberikan. Di dalam proses “exchange transfusion” ini, darah yang kaya dengan bilirubin dan rendah haemoglobin dibuang dan diganti dengan darah yang rendah bilirubin dan kaya haemoglobin. Dengan itu darah yang mengalir di dalam tubuh bayi akan mempunyai rendah bilirubin dan normal haemoglobin.

Gambar di atas menunjukkan seorang bayi yang sedang menjalani fototerapi disebabkan oleh jaundis.

 

Exchange transfusion dilakukan apabila paras bilirubin terlampau tinggi di dalam darah bayi.

3) Pesakit yang menderita akibat episod hemolitik anemia perlu mengambil air yang banyak. Begitu juga, supplemen seperti folid acid perlu diambil untuk membantu pembentukan haemoglobin dan sel darah merah.

Seriuskah masalah kekurangan enzim G6PD ini?

Jika diberi rawatan dan nasihat yang betul, pesakit boleh hidup dengan gaya hidup yang normal. Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang masalah dalam tempoh yang panjang. Walaubagaimanapun apabila episod hemolitik anemia berlaku,ia perlu dirawat dengan rawatan yang sesuai.

Sebagai seorang yang mengalami masalah kekurangan enzim G6PD, apakah yang patut saya lakukan?

Anda dinasihatkan supaya menjauhi makanan-makanan seperti kacang parang, makanan yang mengandungi pewarna tiruan methylene dan toluidine blue, kacang soya atau produk soya,semua jenis kacang atau produk kacang dan gula-gula dan makanan berperisa menthol.

Apabila berjumpa dengan doktor, anda hendaklah memberitahu doctor yang anda mempunyai masalah kekurangan enzim G6PD supaya doktor tidak mempreskripsikan ubat yang boleh menyebabkan anemia kepada anda.

Anda juga dinasihati supaya tidak mengambil ubat-ubatan terutamanya antibiotic dan lain-lain ubat-ubatab tanpa mendapat nasihat doktor terlebih dahulu.

REFERENCES :

http://kidshealth.org/parent/general/aches/g6pd.html

http://www.gleneagles-penang.com/BNBD/pdfbook/06%20what%20is%20G6PD%2026-28.pdf

http://g6pddeficiency.org/index.php

http://hubpages.com/hub/Forbidden-Food-for-G6PD-Cases

Chicken pox.


Pengenalan.

Chicken pox yang dikenali dengan nama cacar air, jintungan atau bertih dalam bahasa melayunya adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dinamakan virus varicella-zoster. Ia amat mudah berjangkit dan ia boleh berlaku pada semua peringkat umur. Penyakit ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak akan tetapi sekiranya ia berlaku kepada orang dewasa simptomnya akan lebih teruk berbanding kanak-kanak.

Chicken pox boleh merebak melalui sentuhan,titisan cecair daripada orang yang dijangkiti( batuk dan bersin ) dan bahan tercemar dengan cairan seperti pada pakaian atau tuala penghidap chicken pox.

Pesakit yang terkena chicken pox boleh merebakkan virus penyakit ini dalam masa 48 jam sebelum timbulnya ruam sehinggalah kantung air yang terbentuk di atas ruam menjadi kering dan berkeruping.

Selepas pulih daripada chicken pox, virus akan kekal berada di dalam badan seumur hidup. Walaupun manusia tidak boleh mendapat jangkitan chicken pox 2 kali, virus yang sama juga menyebabkan kayap ( shingles ). Oleh itu seseorang yang terkena kayap boleh menjangkitkan virus varicella-zoster kepada individu yang masih belum lagi terkena chicken pox dan sekaligus menyebabkan penyakit chicken pox kepada individu tersebut.

Simptom

Simptom-simptom selalunya bertahan selama 2 minggu dan ianya hanya muncul setelah 10-21 hari selepas pendedahan kepada penyakit ini.

Walaupun tidak merbahaya, ia boleh menjadi penyakit yang serius sekiranya sistem imuniti yang lemah contohnya di dalam bayi yang baru lahir, pesakit yang sedang dalam rawatan kemoterapi, pesakit yang mengambil steroid, wanita mengandung atau pesakit HIV/AIDS.

Simptom-simptom termasuklah :

  1. Bermula dengan demam, sakit tekak dan rasa letih.
  2. Beberapa hari kemudian disusuli pula oleh ruam dan gatal-gatal badan. Ruam selalunya bermula di bahagian kulit kepala, bawah ketiak,mulut,hidung dan kawasan pinggul.Ruam bermula dengan kawasan kemerah-merahan dengan kantung berisi air  ( blister )ditengah-tengah. Kantung air pecah dan kerak terhasil. Ruam ini tersangat mudah berjangkit dan kanak-kanak tidak dibenarkan ke sekolah sehinggalah lesion yang terakhir sudah membentuk kuping.
  3. Pesakit chicken pox  juga akan menunjukkan  batuk ringan, hidung berair dua hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Kanak-kanak yang dijangkiti chickenpox akan mempunyai 2 jenis lesion pada masa yang sama.

Gambar sebagaimana di bawah :

Komplikasi

Ruam atau cacar air Chickenpox akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakala penyakit boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:

  • Bayi baru lahir, di mana ibu tidak penah mengidap chicken pox atau pelalian chicken pox.
  • Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap chickenpox seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi.
  • Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukaemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan pesakit asma dan sindrom nefrotik.
    Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema).

Komplikasi akibat chicken pox:

  • Jangkitan kulit- menjadi lebam merah, bengkak dan sakit. Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga.
  • Kerosakan otak akibat radangan otak. Tanda-tanda radangan otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri.
  • Radang sendi- sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak
  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.

Rawatan

Rawatan chicken pox sebagaimana di bawah:

1. Rawatan pesakit yang telah terkena chicken pox hanyalah secara rawatan simptomatik sahaja.

a)  Demam : antipiretik – paracetamol samada sirap atau pun tablet.

Ditegah sama sekali memberikan salicylates seperti aspirin dan disalcid kepada kanak-kanak kerana ia boleh membawa kepada penyakit Reye’s syndrome.

Apakah penyakit Reye’s Syndrome?

Ia adalah sejenis penyakit yang melibatkan semua organ di dalam badan dan yang paling merbahanya ialah penglibatan hati dan otak. Penyakit Reye’s Syndrome ini dibahagikan kepada 2 fasa kerana ia selalunya dikaitkan dengan jangkitan virus sebelumnya seperti infuenza, demam atau chicken pox. Penyakit ini tidak berjangkit dan sebab terjadinya penyakit ini tidak diketahui. Ia sentiasa disalahdiagnosiskan dengan penyakit encephalitis, meningitis, diabetes, lebih dos ubat, keracunan, sudden infant death syndrome atau penyakit psikiatrik.

b)  Gatal-gatal :

1) Losyen Calamine dua hingga empat kali sehari, atau krem hydrocortisone dua kali sehari.

2) Antihistamin seperti Chlorpheniramine maleate 2mg/5ml syrup ( piriton syrup ) dapat membantu melegakan gatal.  Dos ubat ini bergantung kepada umur pesakit sebagaimana di bawah :

Kurang daripada 1 tahun : 2.5mls dua kali sehari.

1-5 tahun : 2.5 – 5.0 mls tiga kali sehari.

6-12 tahun : 10mls tiga atau empat kali sehari.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah asthma atau porphyria, minta nasihat doktor terlebih dahulu.

3) Mandi – Kerap mandi dapat membantu mengurangkan gatal-gatal. Mandian Oatmeal atau separuh hingga satu cawan serbuk penaik yang dicampur dengan air mandian dapat membantu mengurangkan gatal.

c)  Antivirus – Acyclovir ( dapat mengurangkan tempoh pembentukan lesion baru,mengurangkan pembentukan lesion dan mempercepatkan proses penyembuhan sekiranya diambil dalam masa 24-48 jam selepas terbentuknya lesion. )

1) Aciclovir -  (Acyclovir 200 mg/5 ml Suspension )

Dewasa : 5-10mls 4 kali sehari selama 5 hari.

<2 tahun : 2.5 – 5mls 4 kali sehari selama 5 hari.

>2tahun : 5-10mls 4 kali sehari selama 5 hari.

2) Zovirax – Acyclovir 200 mg Tablet

Dewasa : 800mg 5 kali sehari selama 7 hari.

>2 tahun : 20mg/kg setiap dos empat kali sehari ( 80mg/kg/sehari ) selama 5 hari.

Kanak-kanak lebih daripada 40kg : dos orang dewasa.

d)  Selsema – actifed (Triprolidine HCl 1.25 mg & Pseudoephedrine HCl 30 mg per 5 ml Syrup )

>12 tahun : 10 ml

6 – 12 tahun : 5 ml

2 – 5 tahun : 2.5 ml

6 bulan – < 2 tahun : 1.25 ml

Dos boleh diambil 2 atau 3 kali sehari.

( Actifed tidak boleh diambil untuk bayi yang kurang daripada 6 bulan !! )

Selain daripada ubat-ubatan di atas, kanak-kanak yang terkena demam chicken pox digalakkan meminum air masak dengan lebih kerap untuk menggantikan air yang hilang dari badan akibat demam ( insensible fluid loss ).

2.Vaksin varivax – ( varicella zoster virus vaccine )

Vaksin ini sebagaimana lain-lain vaksin berfungsi dengan cara merangsang badan membina antibodi terhadap virus varicella zoster setelah suntikan protein atau virus yang dilemahkan diberi kepada pesakit.

Walaubagaimanapun, vaksin ini tidak dapat merawat pesakit yang sedang dijangkiti chicken pox.

Seperti vaksin-vaksin lain juga, varivax tidak dapat memberi perlindungan sepenuhnya kepada setiap orang. Akan tetapi sekiranya pesakit telah diberi suntikan pencegahan, ia dapat mengurangkan simptom-simptom penyakit ini.

Vaksin ini hanya boleh digunakan untuk pesakit yang berusia lebih daripada 1 tahun. Vaksinasi untuk penyakit chicken pox ini diberikan sebanyak 2 dos. Dos pertama diberikan pada usia 12-15 bulan. Dos kedua pula diberikan apabila kanak-kanak berusia 4-6 tahun.

Sekiranya pesakit adalah berumur 13 tahun ke atas dan masih belum menerima vaksin ini, pesakit perlu mendapat 2 dos suntikan vaksin dengan jarak antara 2 suntikan sekurang-kurangnya 28 hari.

Anda tidak patut mengambil vaksin ini sekiranya anda :

  1. alergi pada gelatine atau neomycin.
  2. sedang dijangkiti penyakit TB.
  3. mempunyai sejarah terkena syndrome Guillain-Barre.
  4. mempunyai masalah kronik seperti lelah atau masalah pernafasan lain, kencing manis, masalah buah pinggang atau masalah sel darah seperti anemia.
  5. menghadapi masalah kelemahan system imuniti yang disebabkan oleh penyakit seperti kanser atau AIDS, ataupun menerima rawatan seperti steroid, kemoterapi ataupun radiasi.
  6. berumur kurang 18 tahun dan baru sahaja mengambil aspirin atau ubat yang dikategorikan sebagai salicylates.
  7. baru sahaja menjalani pembedahan pemindahan organ.
  8. mengandung.

Elakkan daripada mengandung sekurang-kurangnya 3 bulan selepas mendapat suntikan vaksin varivax.

Jangan sesekali mendapatkan suntikan vaksin tanpa memberitahu doktor yang anda sedang menyusu anak.

Anda dikehendaki berjauhan daripada bayi yang baru lahir sekurang-kurangnya 6 minggu selepas mendapat suntikan vaksin varivax. Anda juga dinasihati supaya tidak mengambil suntikan seperti polio atau vaksin hidup yang dilemahkan lain sekurang-kurangnya 4 minggu selepas mendapat suntikan vaksin varivax.

Untuk lebih informasi tentang varivax, anda boleh layari website ini :

http://www.emedicinehealth.com/drug-varicella_virus_chickenpox_vaccine/article_em.htm

Diet semasa terkena chicken pox.

Pemakanan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam mempercepatkan proses pemulihan dan mengurangkan simptom penyakit.Antara diet yang patut diamalkan semasa terkena penyakit ini ialah:

  1. Kurangkan pengambilan buah-buahan sitrus seperti limau dan oren kerana buah-buahan ini mempunyai kandungan asid yang tinggi dan boleh menerukkan ruam dan kegatalan badan.
  2. Banyakkan meminum air kerana ia dapat membantu mengawal demam dan menyingkirkan toksin badan.
  3. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran kerana sayur-sayuran kaya dengan vitamin dan mineral yang penting dalam mengurangkan pembentukan ruam dan jangkitan. Pengambilan karot amat digalakkan semasa terkena penyakit ini kerana ia terbukti membantu memulihkan pesakit daripada chicken pox.
  4. Jangan sesekali mengambil makanan rapu, makanan berminyak dan makanan bergula kerana kesemua makanan ini boleh menerukkan pembentukan ruam.

Perhatian : Jangan sesekali mengambil ubat tanpa mendapat nasihat doktor terlebih dahulu!!

References :

http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Dewasa/ChickenPox.php

http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001592.htm

http://www.diethealthclub.com/askquestion/2570/diet-for-chickenpox-my-neighbour-got-chicken-pox-a.html

Program Immunisasi di Malaysia…(Immunization programme in Malaysia)

S1 :  Apakah imunisasi?

Imunisasi atau pelalian ialah pemberian vaksin kepada seseorang untuk melindunginya daripada beberapa penyakit tertentu. Antibodi daripada ibu akan memberi perlindungan sementara selama lebih kurang enam bulan sahaja, maka bayi perlu diberi imunisasi supaya terlindung daripada penyakit.

Imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak serta bayi merupakan cara yang paling berkesan dan kos efektif untuk melindungi mereka dari penyakit tuberculosis (TB), difteria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), poliomyelitis, campak, rubella dan hepatitis B.

Walau bagaimanapun masih terdapat kanak-kanak yang tidak diberi imunisasi kerana kekurangan pengetahuan mengenai vaksin serta jadual imunisasi, salah faham mengenai kontraindikasi, kerisauan tentang kesan sampingan serta komplikasi vaksin.

S2 :  Apakah keimunan aktif?

Keimunan aktif diperolehi dengan memberi vaksin secara suntikan atau melalui mulut. Contoh-contoh vaksin terdiri daripada yang berikut :-

(i) “Live – attenuated vaccines” (vaksin hidup yang dilemahkan) seperti vaksin poliomyelitis (OPV), campak, rubella dan BCG.

(ii) “Killed vaccines” (vaksin mati) seperti vaksin pertussis dan inactivated poliomyelitis (IPV).

(iii) ‘Sub-unit vaccine’ (vaksin subunit) seperti vaksin pneumococcus, hepatitis B, influenza.

(iv)  “Toxoid” (toksoid) seperti vaksin diphtheria tetanus.

Kebanyakan vaksin memberi perlindungan daripada penyakit dengan merangsangkan sistem keimunan badan untuk menghasilkan antibodi. Vaksin BCG memberi perlindungan melalui keimunan sel (cell mediated immunity). OPV juga memberi keimunan tempatan (local immunity) di dalam saluran usus.

S3 : Apakah keimunan pasif?

Keimunan pasif diperolehi melalui suntikan dengan imunoglobulin manusia. Walaupun perlindungan yang diberi adalah segera, tetapi ianya cuma berkesan untuk beberapa minggu sahaja. Terdapat 2 jenis imunoglobulin iaitu :

(i)  “Human normal immunoglobulin” (HNIG) yang diperolehi dari plasma penderma-penderma dan mengandungi antibodi terhadap virus yang kini berada di populasi umum. Contoh di mana HNIG digunakan ialah pemberiannya kepada kanak-kanak kekurangan daya pertahanan badan (immunosuppressed children) yang terdedah kepada campak sekiranya mereka belum dijangkiti penyakit tersebut.

(ii)Imunoglobulin spesifik untuk tetanus, hepatitis B, rabies dan varicella/zoster (cacar air). Imunoglobulin ini diperolehi dari darah penderma-penderma yang sedang sembuh dari penyakit-penyakit tersebut, darah penderma-penderma yang baru diberi imunisasi yang berkenaan serta mereka yang didapati mempunyai paras antibodi yang tinggi. Oleh itu setiap imunoglobulin spesifik mengandungi paras antibodi yang lebih tinggi berbanding dengan HNIG. Contoh dimana imunoglobulin spesifik digunakan ialah pemberian “Hepatitis B imunoglobulin” (HBIG) kepada bayi yang baru lahir sekiranya ibu adalah HbsAg positif.

S4 : Bilakah bayi serta kanak-kanak perlu diberi imunisasi?

Mereka diberi imunisasi mengikut jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia.

(i) Bayi

Malaysia – Mandatory

Age

Vaccine

Immunisation Against

Birth

BCG

Hep B

Bacille Calmette-Guérin vaccine

Hepatitis B vaccine

2 months

Hep B

DTP / Hib / Polio

Hepatitis B vaccine

Diphtheria and tetanus toxoid, pertussis vaccine
Haemophilus influenzae vaccine
Oral Polio vaccine

3 months


Hep B

DTP / Hib / Polio


Hepatitis B vaccine

Diphtheria and tetanus toxoid, pertussis vaccine
Haemophilus influenzae vaccine
Oral Polio vaccine

5 months

Hep B

DTP / Hib / Polio

Hepatitis B vaccine

Diphtheria and tetanus toxoid, pertussis vaccine
Haemophilus influenzae vaccine
Oral Polio vaccine

1 year

MMR

Measles, Mumps and Rubella vaccine


(ii) Kanak-kanak berusia 1-4 tahun

1 ½ – 2 tahun DPT dan OPV dos tambahan pertama

Malaysia – Recommended

Age

Immunisation Against

2 months

Rotavirus
Pneumococcal C

3 months

Rotavirus
Pneumococcal C

5 months

Pneumococcal C

6 months

Influenza (annually)

1 year

Chicken Pox
Pneumococcal C

2 years

Pneumococcal P
Hepatitis A

2.5 years

Hepatitis A

(iii) Kanak-kanak sekolah

Darjah 1- DT dan OPV dos tambahan kedua

BCG (jika tiada parut)

Rubella (untuk pelajar perempuan sahaja)

Darjah 6- BCG

Tingkatan III – Toxoid tetanus

(iv) Ibu mengandung

Permulaan Toksoid tetanus dos pertama semasa kehamilan 24-28 minggu ( KementerianKesihatan Malaysia menggalakkan toksoid tetanus diberi apabila kehamilan dipastikan )Toxoid tetanus dos kedua 6-8 minggu selepas dos pertama Tambahan Satu dos toxoid tetanus setiap kali mengandung.

Nota :

DPT- Difteria, pertussis & tetanus

DT – Difteria & tetanus

S5 : Apakah kontraindikasi kepada imunisasi?

  1. Demam kerana sakit serius. Imunisasi ditangguhkan sahaja
  2. Keadaan imunodefisiensi merupakan kontraindikasi kepada “live-attenuated vaccines”sahaja. “Killed vaccines” boleh diberi.

Keadaan imunodefisiensi termasuk :

(i)     sakit imunodefisiensi yang diwarisi

(ii)    leukemia, lymphoma, penyakit Hodgkin’s dan sebagainya. Imunisasi ditangguhkan sehingga 6 bulan selepas habis rawatan.

(iii)  rawatan imunosupresif dan radiasi. Imunisasi ditangguhkan sehingga 6 bulan selepas habis rawatan.

(iv)  rawatan dengan kortikosteroid seperti Prednisolone 2 mg/kg/hari untuk > 7 hari atau dos rendah/sederhana tiap-tiap hari untuk > 2

minggu. Imunisasi ditangguhkan sehingga 3 bulan selepas habis rawatan. Kanak-kanak yang diberi dos rendah/sederhana selama < 2

minggu serta mereka yang diberi dos rendah selang sehari untuk jangkamasa yang lebih lama boleh diberi “live-attenuated vaccines”.

Inhalasi steroid juga bukan kontraindikasi.

3.  Kehamilan “live-attenuated vaccines” tidak boleh diberi.

4.  Kontraindikasi spesifik :

(i)     BCG – Jangkitan HIV yang bersimptomatik

(ii)    Hepatitis B – Tiada kontraindikasi

(iii)  Pertussis –

(a) penyakit neurologikal yang progresif seperti infantile spasms

(b) reaksi kepada dos yang lebih awal seperti

- anafilaksis

- keadaan “shock”

- sawan dan demam dalam 72 jam

- demam > 40.5 C dalam 48 jam

- ensefalopati dalam 7 hari

(iv)  Difteria – tiada kontraindikasi

(v)   Tetanus – tiada kontraindikasi

(vi)  Polio – cirit-birit (vaksin diberi tetapi dos ini tidak dikira. Dos ini perlu diulangi kelak)

(vii) Rubella – Kehamilan

(viii) Campak (measles) – Anafilaksis kepada protein telur

Yang berikut bukanlah kontraindikasi kepada imunisasi*

  1. Demam rendah atau sederhana < 38.5 C disebabkan oleh sakit biasa seperti batuk, selsema dan cirit-birit
  2. Penyakit kulit seperti eczema, bisul dan kurap
  3. Berat lahir yang rendah
  4. Malnutrisi
  5. Penyakit neurological yang tidak progresif seperti palsi serebrum, perkembangan lewat, sawan kerana demam, sawan yang terkawal serta sindrom down.
  6. Jaundis neonatal, kekurangan G6PD
  7. Sejarah penyakit campak tanpa bukti serologi
  8. Ibu mengandung (melainkan vaksin rubella)
  9. Sejarah keguguran dalam ibu-ibu yang mengandung (ATT)
  10. Jangkitan HIV (rujuk kepada BCG)
  11. Sejarah sawan di dalam keluarga
  12. Penyakit jantung congenital

* Rujukan kepada doktor untuk membuat keputusan mengenai imunisasi adalah disyorkan.

S6 : Apakah komplikasi imunisasi?

Imunisasi adalah selamat tetapi kadang-kadang mungkin terdapat beberapa komplikasi. Komplikasi tempatan seperti bengkak, inflamasi, bisul atau ulser di tempat suntikan perlu dirujuk kepada doktor sekiranya serius.

Demam yang rendah boleh dirawat dengan parasetamol tetapi demam tinggi, menangis tak berhenti-henti lebih daripada dua jam atau sebarang gejala-gejala neurological harus dirujuk ke hospital.

Jika terjadinya sawan atau reaksi anafilaksis, rawatan kecemasan harus diberi dahulu sebelum dirujuk ke hospital.

S7 : Bagaimana seseorang jururawat atau doktor boleh memastikan setiap kanak-kanak mendapat imunisasi yang lengkap?

Setiap kali seseorang kanak-kanak dirawat di klinik atau hospital status imunisasinya harus disemak. Sekiranya terdapat sebarang imunisasi yang belum diberi, dia mesti diberi imunisasi berkenaan sebelum meninggalkan klinik atau hospital.

Sebarang keputusan untuk menangguhkan atau tidak memberi imunisasi mestilah dibuat selepas menimbangkan dengan teliti kesan-kesan tindakan kita terhadap kanak-kanak tersebut. Di dalam keadaan ini, seseorang doktor haruslah menyediakan satu jadual imunisasi bertulis yang lengkap untuk kanak-kanak tersebut.

Reference :

1.The Malaysian Paediatric Association

2.Pediatric Department Ipoh Hospital

3. Buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak (0-6 thn ) – Bahagian Pembangunan Keluarga KKM

4.Huggies Malaysia